Wednesday, 2 November 2016

Pengenalan

Langkawi merupakan sebuah pulau pelancongan yang terkenal di negeri Kedah. Pulau Langkawi adalah pulau yang kaya dengan keindahan alam semulajadi dan merupakan pulau yang terbesar di Malaysia. Namun pernahkah anda mengatahui asal perkataan “LANGKAWI”? Nama Langkawi diambil sempena gabungan dari perkataan ‘LANG’ dan ‘KAWI’. ‘LANG’ adalah singkatan daripada perkataan ‘HELANG’ yang dikatakan menjadi tempat tinggal burung helang. Manakala ‘KAWI’ pula bermaksud BATU KAPUR. Kawi diguna pakai sebagai nama Pulau Langkawi kerana terdapat lambakkan batu kapur di pulau ini.

      Menurut Puan Barakatunissha, 60 Pulau Langkawi terdiri daripada 99 gugusan pulau yang mempunyai keunikan tersendiri. Pulau yang terbesar di Langkawi adalah Pulau Kuah diikuti Pulau Dayang Bunting. Pulau Dayang Bunting adalah salah satu pulau yang mampu menjadi daya tarikan pelancong dengan keindahan alam semula jadi dan lagenda masa lalu. Antara tempat yang menarik di Pulau ini adalah Tasik Dayang Bunting. Menurut kepercayaan penduduk di pulau ini, terdapat mitos yang menyatakan bahawa tujuh orang dayang daripada langit telah turun ke bumi dan menetap di pulau ini. Ketika semua dayang sedang bersiram di tepian tasik tersebut, salah seorang dayang telah berkenalan dengan seorang lelaki penduduk kampung. Dayang tersebut telah jatuh cinta dan berhajat untuk terus menetap di bumi. Namun begitu, keinginan dayang tersebut telah ditolak dan mendapat sumpahan.

      Keistimewaan yang terdapat di Pulau Dayang Bunting boleh dilihat melalui persekitaran di Kampung Selat Bagan Nyior. Selain rumah tumpangan dan chalet, pengangkutan, hasil laut dan kraftangan  merupakan daya tarikan pelancong yang datang ke pulau ini. Kampung Selat Bagan Nyior menjadi kampung tumpuan utama di kawasan Pulau Dayang Bunting kerana mempunyai keunikan pada struktur muka bumi dan keindahan persisiran pantai yang sangat mengagumkan. Jarak perjalanan dari lapangan terbang ke jeti Pekan Rabu, Pulau Kuah dianggarkan kira-kira 19 kilometer, manakala, jarak perjalanan dari jeti Pekan Rabu ke jeti Kampung Selat Bagan Nyior, Pulau Dayang Bunting pula dianggarkan 4 kilometer iaitu kira-kira 15 minit perjalanan dengan bot.

        Keindahan persekitaran semula jadi yang terdapat di Kampung Selat Bagan Nyior memberikan satu rasa ketenangan yang tidak dapat digambarkan. Suasana yang menenangkan dengan tumbuh-tumbuhan hijau serta air laut yang membiru mencetuskan kepuasan bagi setiap pengunjung yang datang ke kampung ini. Kampung ini juga boleh dikatakan sebagai salah satu tempat yang menjadi pilihan kebanyakan pelancong untuk menginap serta merasai keindahan suasana perkampungan nelayan. Keramahan penduduk kampung di perkampungan ini memang tidak dapat dinafikan. Setiap pengunjung yang datang akan dilayan dengan sebaik mungkin oleh penduduk kampung.