Wednesday 26 October 2016

Persekitaran



Paya bakau di Kampung Selat Bagan Nyior

Permandangan salah satu rumah tumpang di Selat Bagan Nyior

Masjid di kampung Selat Bagan Nyior

Haiwan pelihara penduduk kampung Selat Bagan Nyior

Permandangan Ladang Getah yang dimiliki oleh penduduk kampung

Jambatan yang menghala ke Jeti Selat Bagan Nyior

Aktiviti riadah berbasikal oleh kanak-kanak kampung Selat Bagan Nyior

Permulaan destinasi kampung Selat Bagan Nyior

Bot nelayan penduduk kampung

Jalan menuju ke arah Kampung Selat Bagan Nyior

Bot yang digunakan oleh para nelayan turun ke laut

Jambatan yang mengabungkan Pulau Dayang Bunting dan Pulau Tuba

Permandangan dari bawah jambatan

Laluan ke Pulau Tuba

Permandangan gunung yang menarik

Suasana kampung di waktu petang

Galeri

 
Permandangan di chalet Barkat


    Seorang nelayan membaiki pukat


Permandangan dari jambatan antara Pulau Tuba dan Pulau Dayang Bunting


Bot sebagai pengangkutan utama iaitu dari Selat Bagan Nyior ke Pulau Kuah


Tugu  Burung Helang sebagai Landmark  Pulau Langkawi


Akitivi harian penduduk kampung Selat Bagan Nyior iaitu memukat


Kanak-kanak selepas pulang dari sekolah


Suasana kampung di waktu petang


Permandangan matahari terbenam

Aktiviti berbasikal oleh kanak-kanak di kampung Selat Bagan Nyior

Penduduk kampung yang beriadah tanpa mengira umur

Tuesday 25 October 2016

Kraftangan


     Di Kampung Selat Bagan Nyior ini, Encik Harun bin Hussin, 74 tahun atau lebih dikenali sebagai Tok Wan bersama isterinya Puan Putih binti Arshad, 63 tahun merupakan satu-satunya keluarga yang menghasilkan barangan kraftangan. Hasil Kraftangan ini merupakan sumber pendapatan utama keluarga beliau. Antara barangan kraftangan yang dihasilkan oleh mereka ialah senduk dan papan hiris.


 Peralatan yang digunakan untuk menghasilkan senduk

Tok Wan sedang memotong kayu untuk menghasilkan kraftangan

     Perusahaan kraftangan ini  menggunakan kayu yang berbeza iaitu kayu rami, khususnya untuk membuat senduk manakala kayu nangka untuk membuat papan hiris.  Di samping penghasilan senduk dan papan hiris, Tok Wan juga menerima tempahan  membuat lesung kayu dan pendayung sampan. Puan Putih juga menyatakan, penghasilan kraftangan ini mendapat sambutan bukan sahaja daripada pelancong yang datang dari luar negara, untuk mendapatkan hasil kraftanganya, malah pelancong tempatan serta penduduk kampung ini sendiri.


 Proses melicinkan senduk dengan menggunakan kertas pasir


Proses penghasilan bagi senduk adalah seperti berikut:
  • Kayu rami dan kayu nangka didapatkan dari hutan
  • Kayu dibelah kepada beberapa bahagian mengikut saiz yang dikehendaki
  • Kayu dijemur selama 5 hingga 6 hari supaya menjadi lebih ringan
  • Menanda bentuk dan saiz senduk supaya tidak lari dari bentuk asal
  • Memahat untuk membuang bahagian yang tidak diperlukan
  • Mesin pengetam digunakan untuk meratakan senduk yang telah dipahat
  • Kertas pasir digunakan untuk melicinkan permukaan senduk
  • Peralatan khas yang diperlukan untuk menghasilkan kraftangan ini adalah kayu yang sesuai, gergaji, mesin pengetam, pensil dan kertas pasir


 Proses pembentukan senduk dilakukan oleh Tok Wan




Hasil Laut


     Kampung Selat Bagan Nyior terkenal sebagai satu destinasi pelancongan yang menyimpan pelbagai khazanah disebalik kehidupan seorang nelayan dalam mencari sumber pendapatan. Aktiviti perikanan merupakan sumber utama penduduk Kampung Selat Bagan Nyior dalam mencari rezeki serta untuk menampung kehidupan sejak dahulu lagi. Berikutan dengan kedudukan kampung yang berdekatan dipersisiran pantai, majoriti penduduk kampung di Selat Bagan Nyior menjalankan aktiviti nelayan secara tetap yang hanya bergantung kepada tangkapan hasil laut. Peratusan daripada keseluruhan penduduk di sini yang menjadi nelayan adalah kira-kira 90 peratus manakala 10 peratus merupakan peniaga, pembuat kraftangan dan sebagainya. 

Para nelayan yang sedang melakukan aktiviti memukat di laut

       Setiap nelayan akan diberikan lesen khas untuk menjalankan aktiviti penangkapan hasil laut. Secara tidak langsung, pengurusan untuk mendapatkan lesen tersebut bagi penduduk kampung akan diuruskan melalui organisasi nelayan. Selain itu, enjin bot akan diberikan daripada badan perikanan Langkawi kepada nelayan-nelayan di Kampung Selat Bagan Nyior untuk meningkatkan ekonomi penduduk tempatan. Dengan kemudahan yang diberikan kerajaan itu dapat meringankan beban nelayan bak kata pepatah ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’.

        Antara peralatan yang kebiasaannya digunakan oleh para nelayan di sini ialah kail dan pukat untuk mendapatkan hasil laut seperti sotong, udang, dan ikan. Penggunaan kail bagi sesetengah nelayan menjadikan hobi untuk turun ke laut dengan menggunakan sampan persendirian yang bersaiz kecil. Manakala, pukat boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu pukat tunda mahupun pukat tarik. Sementara menunggu masa mengangkat pukat, mereka akan menangkap ikan dengan kail berserta umpan dengan menggunakan joran atau lilitan tangsi pada tangan sahaja. Terdapat beberapa jenis hasil tangkapan ikan oleh nelayan di sini iaitu ikan kerapu, ikan sebelah, ikan merah dan ikan duri. Kebiasaannya para nelayan akan memasang pukat ketika air pasang dan mengangkatnya apabila air surut untuk mengutip hasil tangkapan.
Puan Kamariah yang sedang meukat di tepi pantai
Puan Kamariah yang sedang membuat persiapan untuk turun ke laut

Sotong

        Sotong juga merupakan hasil tangkapan utama para nelayan di sini apabila menjelang musimnya. Kegiatan mencandat dan menangkap sotong akan dilakukan pada waktu malam kerana sotong lebih sensitif kepada cahaya. Sebelum malam menjelang, para nelayan akan membuat persiapan awal untuk mencandat antaranya ialah persediaan lampu, umpan, keadaan sampan serta peralatan yang sesuai untuk mencandat. Penggunaan lampu yang berkelip-kelip digunakan oleh para nelayan di sini untuk menarik perhatian sotong supaya datang ke arah perangkap. Antara warna lampu yang digunakan adalah putih, biru, oren, dan merah. Warna merah memberikan isyarat bahawa banyak sotong sudah mengelilingi lampu tersebut. Menurut Encik Saidin selaku ketua nelayan di sini, hasil tangkapan yang diperoleh akan dijual kepada tauke di Bukit Melut di samping sebahagian untuk sumber pendapatan nelayan itu sendiri.

Sotong juga merupakan hasil laut penduduk disitu

Bronok

           Keunikan yang ada di Kampung Selat Bagan Nyior ini ialah dengan pencarian bronok. Bronok merupakan salah satu spesis hidupan laut yang seakan-akan gamat dan hanya terdapat dipersisiran pantai. Tambahan, pembiakan bronok ini sangat unik iaitu membiak melalui buih di dalam air dari saiz yang kecil hingga mencapai saiz sebesar penumbuk tangan. Menurut Puan Barakatulnissha K.Karim atau dikenali sebagai Kak Bara, buih yang di hasilkan oleh bronok mengandungi benih dan membiak dengan sendirinya melalui air. Di sesetengah kawasan lain, gelaran bagi bronok umumnya dikenali sebagai timun laut bagi sesetengah masyarakat. Tekstur yang ada pada bronok ini kelihatan licin seperti sotong dan ia juga mempunyai beberapa warna seakan-akan coklat kehitaman atau merah jambu. 


        Bronok ini bersifat kenyal dan rasanya agak masin seperti air laut disebabkan pembiakannya. Kak Bara turut menyatakan bahawa bronok hidup di kawasan persisiran pantai yang berselut seperti di pantai kampung ini. Antara saiz bagi bronok yang matang adalah di antara 3 inci sehingga 5 inci. Kebiasaannya bronok ini merupakan hasil laut yang jarang diambil tetapi mendapat permintaan yang tinggi terutamanya ketika kenduri dengan menjadikannya sebagai makanan eksotik iaitu dibuat kerabu. Selain itu, pembuatan makanan seperti kerabu bronok seharusnya tidak boleh di cuci dengan air masin, tetapi hanya boleh di cuci dengan air biasa dan air asam. Hal ini kerana bronok akan mengecut apabila dicuci dengan air masin disebabkan pembiakaan asalnya. Kemudian, bahagian mulut dan perut bronok dibuang dan dihiris kecil. Akhir sekali, bahan kerabu di masukkan dan digaul bersama bronok. Jika bronok disimpan terlalu lama, ia akan menjadi cair seperti asalnya.

Salah satu hasil laut yang menarik iaitu Bronok

Lat Tut


        Di samping itu, selain bronok terdapat juga hasil laut yang dikenali sebagai lat tut. Lat tut adalah sejenis rumpai air yang hanya boleh didapati pada dasar laut dan hanya boleh diambil ketika air surut. Lat tut sangat berkhasiat untuk di makan kerana dipercayai boleh mengurangkan kolestrol, menyihatkan tubuh badan, serta menyembuhkan luka daripada pembedahan. Seperti bronok, lat tut hanya boleh di basuh dengan air tawar sahaja. Jika lat tut disimpan terlalu lama lat tut akan mengering dan mengecut.
Dua penduduk kampung yang sedang mengumpulkan hasil laut






Pelancongan

Barkat Chalet

    Barkat Chalet merupakan tempat penginapan pelancongan terawal di Kampung Selat Bagan Nyior yang diasaskan oleh Puan Barakatunissha Binti K.Karim, 60 dan suaminya iaitu Encik Abdul Rasyid bin Besari, 58 pada Tahun 2000. Tempat penginapan yang berkeluasan 1.5 hektar  ini mengutamakan layanan ramah mesra dan kepuasan nurani pelancong disamping menyampaikan perasaan dan suasana sebenar kehidupan masyarakat perkampungan nelayan. Justeru, chalet yang dibina di sini berkonsepkan rumah kampung di tepi laut dengan kemudahan yang sederhana.


Encik Abdul Rasyid bin Besari

Puan Barakatunissha Binti K.Karim

    Keistimewaan di Barkat Chalet adalah keindahan suasana kampung yang memberikan ketenangan kepada pelancong, tiupan angin pantai serta keindahan terbit dan terbenam matahari boleh dinikmati oleh penginap di chalet ini. Di samping itu, kelebihan yang terdapat di Barkat Chalet ialah pelancong boleh merasai sendiri pengalaman untuk menjala atau memancing hidupan laut seperti mana nelayan di kampung ini. Perkara sebegini pastinya menjadi satu pengalaman yang menyeronokkan dan bermakna kepada pelancong. Selain itu, minuman percuma disediakan kepada pelancong yang tiba pada hari pertama untuk menginap di sini di samping pelbagai makanan kampung yang unik dan enak disediakan pada harga yang berpatutan. Perkhidmatan pengangkutan seperti motosikal dan basikal pula diberikan secara percuma dan layan diri kepada pelancong. Dengan kemudahan ini, pelancong boleh bergerak dengan lebih mudah untuk menikmati keindahan dan keunikan di sekitar Pulau Dayang Bunting.






   Di Barkat Chalet ini terdapat 7 bilik dan 1 dorm dengan 8 katil di dalamnya. Namun, Tiada pakej tetap bagi bilik penginapan dan makanan turut disediakan kepada pelancong yang menginap disini. Selain itu, jika pelancong mempunyai permintaan untuk mendapatkan perkhidmatan lain seperti berkayak, mendaki, atau ingin pergi ke kawasan lain menggunakan bot, Barkat Chalet sedia memberikan harga yang berpatutan kepada pelancong. Dalam pada itu, terdapat 3 ekor anjing yang telah dilesenkan untuk menjaga kawasan Barkat Chalet disamping menjadi penunjuk arah kepada pelancong untuk pergi ke kawasan air terjun di dalam hutan.







   Di samping itu, bagi memperkenalkan Barkat Chalet kepada masayarakat luar, pemiliknya telah membuat pengiklanan menerusi internet untuk mempromosikan chalet kepada penduduk dalam dan luar negara. Namun demikian, kebanyakan pelancong yang datang ke Barkat Chalet merupakan warga asing terutamanya dari Eropah iaitu dalam lingkungan 90 peratus berbanding warga tempatan iaitu 10 peratus sahaja. Antara kebanyakan pelancong yang datang ialah daripada Jerman, Itali dan Perancis. Barkat Chalet biasanya menerima pelancong dalam bilangan tertentu pada satu-satu masa bagi memastikan layanan yang diberikan kepada setiap pelancong memuaskan. Prinsip Barkat Chalet yang mementingkan kepuasan pelancong daripada keuntungan ini telah menjadikan tempat penginapan pelancong ini diiktiraf sebagai superhost oleh Airbnb, satu jaringan pemasaran dan penginapan secara atas talian.



NOBA The Best Resort


Resort NOBA

    NOBA The Best Resort atau lebih dikenali dengan nama Resort NOBA merupakan tempat penginapan kedua di Kampung Selat Bagan Nyior selain Barkat Chalet. Resort NOBA boleh dikatakan masih baru kerana pembinaannya ialah pada Tahun 2013. Resort ini dimiliki oleh seorang usahawan kelahiran Pulau Tuba iaitu Dato’ Sri Noordin, 52. Resort NOBA yang berkeluasan hampir 4 hektar ini mengandungi 13 buah chalet dan 5 lagi chalet baru dan satu kolam renang dalam perancangan pembinaan. Pelancong boleh memilih sama ada homestay, bilik perseorangan atau chalet ala kampung mengikut keinginan, keselesaan dan bajet sendiri. Pelancong boleh sampai ke resort ini melalui jeti Pekan Rabu terus ke jeti Resort NOBA tanpa perlu berjalan kaki.


Pemilik Resort NOBA Dato’ Sri Noordin (kanan)



    Resort NOBA mementingkan keselesaan kepada pelancong dengan kelengkapan yang moden di sebahagian chalet, disamping suasana tenteram yang bebas daripada kebisingan dan kesibukan kota. Antara kelengkapan yang disediakan di Resort NOBA ialah rangkaian televisyen berbayar, jaringan internet percuma, penghawa dingin dan dapur. Pelancong dibenarkan membawa makanan atau memasak di chalet seperti rumah sendiri.







    Antara pakej penginapan yang ditawarkan di Resort NOBA ialah Chalet NOBA Buluh yang dapat memuatkan 2-3 orang dengan kelengkapan kipas, penghawa dingin, air minuman dan tuala beserta peralatan mandi. Selain itu, Chalet NOBA Biru untuk 2 orang khas kepada pasangan dengan kelengkapan yang sama seperti Chalet NOBA Buluh ditambah dengan televisyen dan siaran televisyen berbayar dan sebuah lagi chalet iaitu Chalet NOBA Orang yang dapat memuatkan 5-6 orang dengan kelengkapan sama seperti Chalet NOBA Biru. Manakala bagi pakej homestay pula, kelengkapan yang disediakan juga sama seperti Chalet NOBA Biru dan Chalet NOBA Orang ditambah dengan satu dapur bagi rumah untuk muatan 2 hingga 3 orang dan untuk rumah yang dapat memuatkan sehingga 10 orang.




Chalet NOBA

  Seterusnya, terdapat pakej makanan untuk makan sehari merangkumi sarapan pagi, makan tengahari, minum petang, dan makan malam untuk orangg dewasa dan kanak-kanak. Selain itu, terdapat juga menu istimewa seperti ayam dan ikan bakar berempah yang disediakan. Resort NOBA turut menyediakan perkhidmatan penyewaan motosikal khas untuk pelancong yang menginap di sini untuk memudahkan mereka keluar bersiar-siar di Pulau ini.


    Keunikan yang paling menarik di Resort NOBA adalah terdapat satu pakej bulan madu untuk pasangan dengan menjemput mereka menggunakan helikopter dari Padang Mat Sirat ke resort ini beserta penginapan, makanan, dan lawatan ke hutan paya bakau di Selat Dayang Bunting selama 2 hari 1 malam. Resort NOBA juga menyediakan pelbagai aktiviti lain untuk pelancong seperti aktiviti mencari bronok, memancing, dan jelajah Pantai Teluk Cawi menggunakan bot pada harga yang telah ditetapkan.







PENGANGKUTAN PELANCONGAN

    Pengangkutan utama di Pulau Dayang Bunting ialah motosikal, memandangkan keadaan bentuk muka bumi yang berbukit dan struktur jalan yang kecil. Justeru, perkhidmatan penyewaan motosikal bukan sahaja dilakukan di tempat-tempat penginapan sahaja, malah penduduk setempat di Pulau Dayang Bunting ini juga turut menyediakan perkhidmatan ini.


Encik Hanipah

   Tempat utama untuk mendapatkan motosikal sewa biasanya ialah di Kedai Runcit Halipah. Lokasi kedai runcit ini adalah berhampiran dengan jeti utama Kampung Selat Bagan Nyior. Terdapat 12 buah motosikal disediakan oleh Encik Halipah, 60 untuk kemudahan pengangkutan bukan sahaja kepada pelancong, tetapi juga kepada penduduk kampung yang memerlukan motosikal ketika kecemasan serta guru-guru yang datang untuk mengajar di Sekolah Kebangsaan Selat Bagan Nyior. Menurut Encik Halipah, beliau merancang untuk menambahkan bilangan motosikal sewa kepada 50 hingga 60 buah serta membuat perkhidmatan sewaan basikal dan kereta pada masa akan datang. Dengan adanya perkhidmatan penyewaan motosikal ini, pelancong akan lebih mudah mendapatkan kenderaan bagi mereka bergerak untuk menikmati keindahan yang terdapat di Pulau Dayang Bunting ini.