Wednesday 2 November 2016

Pengenalan

Langkawi merupakan sebuah pulau pelancongan yang terkenal di negeri Kedah. Pulau Langkawi adalah pulau yang kaya dengan keindahan alam semulajadi dan merupakan pulau yang terbesar di Malaysia. Namun pernahkah anda mengatahui asal perkataan “LANGKAWI”? Nama Langkawi diambil sempena gabungan dari perkataan ‘LANG’ dan ‘KAWI’. ‘LANG’ adalah singkatan daripada perkataan ‘HELANG’ yang dikatakan menjadi tempat tinggal burung helang. Manakala ‘KAWI’ pula bermaksud BATU KAPUR. Kawi diguna pakai sebagai nama Pulau Langkawi kerana terdapat lambakkan batu kapur di pulau ini.

      Menurut Puan Barakatunissha, 60 Pulau Langkawi terdiri daripada 99 gugusan pulau yang mempunyai keunikan tersendiri. Pulau yang terbesar di Langkawi adalah Pulau Kuah diikuti Pulau Dayang Bunting. Pulau Dayang Bunting adalah salah satu pulau yang mampu menjadi daya tarikan pelancong dengan keindahan alam semula jadi dan lagenda masa lalu. Antara tempat yang menarik di Pulau ini adalah Tasik Dayang Bunting. Menurut kepercayaan penduduk di pulau ini, terdapat mitos yang menyatakan bahawa tujuh orang dayang daripada langit telah turun ke bumi dan menetap di pulau ini. Ketika semua dayang sedang bersiram di tepian tasik tersebut, salah seorang dayang telah berkenalan dengan seorang lelaki penduduk kampung. Dayang tersebut telah jatuh cinta dan berhajat untuk terus menetap di bumi. Namun begitu, keinginan dayang tersebut telah ditolak dan mendapat sumpahan.

      Keistimewaan yang terdapat di Pulau Dayang Bunting boleh dilihat melalui persekitaran di Kampung Selat Bagan Nyior. Selain rumah tumpangan dan chalet, pengangkutan, hasil laut dan kraftangan  merupakan daya tarikan pelancong yang datang ke pulau ini. Kampung Selat Bagan Nyior menjadi kampung tumpuan utama di kawasan Pulau Dayang Bunting kerana mempunyai keunikan pada struktur muka bumi dan keindahan persisiran pantai yang sangat mengagumkan. Jarak perjalanan dari lapangan terbang ke jeti Pekan Rabu, Pulau Kuah dianggarkan kira-kira 19 kilometer, manakala, jarak perjalanan dari jeti Pekan Rabu ke jeti Kampung Selat Bagan Nyior, Pulau Dayang Bunting pula dianggarkan 4 kilometer iaitu kira-kira 15 minit perjalanan dengan bot.

        Keindahan persekitaran semula jadi yang terdapat di Kampung Selat Bagan Nyior memberikan satu rasa ketenangan yang tidak dapat digambarkan. Suasana yang menenangkan dengan tumbuh-tumbuhan hijau serta air laut yang membiru mencetuskan kepuasan bagi setiap pengunjung yang datang ke kampung ini. Kampung ini juga boleh dikatakan sebagai salah satu tempat yang menjadi pilihan kebanyakan pelancong untuk menginap serta merasai keindahan suasana perkampungan nelayan. Keramahan penduduk kampung di perkampungan ini memang tidak dapat dinafikan. Setiap pengunjung yang datang akan dilayan dengan sebaik mungkin oleh penduduk kampung.




Landskap

      
        Kampung Selat Bagan Nyior mempunyai keindahan landskap yang menarik serta mampu menjadi tumpuan pelancong untuk datang ke kampung ini khususnya pelancong dari luar negara. Antara lokasi yang menarik di sini adalah jeti yang menjadi lokasi terpenting bagi penduduk kampung untuk mengumpul hasil tangkapan laut selain sebagai tempat persiapan sebelum turun ke laut. Tambahan pula, jeti juga menjadi tempat utama penduduk kampung untuk menyeberang dari satu tempat ke satu tempat. Hasil daripada temubual bersama Encik Hajat bin Abdul Hamid (56) dan Puan Saahara binti Osman (51), di kampung ini juga terdapat sebuah jambatan yang menghubungkan kampung ini dengan Pulau Tuba.  Menurut mereka juga, jambatan ini telah dibina kira-kira tiga hingga empat tahun yang lalu.






Jeti Kampung Selat Bagan Nyior



Jambatan yang menghubungkan Pulau Tuba dengan Kampung Selat Bagan Nyior


         Di samping itu, struktur muka bumi yang berbukit-bukau dan kedudukan yang berdekatan dengan persisir pantai menjadikan kampung ini lebih menarik. Kampung ini juga mempunyai pola penempatan yang berpusat dan pembinaan jalan yang berturap sepenuhnya. Seterusnya, di kampung ini terdapat kemudahan infrastruktur seperti sekolah, masjid dan dewan orang ramai. Sekolah yang terdapat di kampung ini adalah Sekolah Kebangsaan Selat Bagan Nyior iaitu satu-satunya sekolah rendah yang terdapat di kawasan ini. Manakala sekolah menengah pula terdapat di Pulau Tuba iaitu penduduk kampung perlu ke seberang untuk menghantar anak mereka ke sekolah tersebut. Kampung ini juga menjalankan projek perlindungan hutan dengan melindungi pokok hutan dari aktiviti pembalakan yang berleluasa di samping menjalankan projek penanaman semula pokok bakau di kawasan tersebut. Justeru, Kampung Selat Bagan Nyior dikelilingi dengan keindahan semulajadi laut dan hutan paya bakau.



Sekolah Kebangsaan Selat Bagan Nyior

Pemandangan pokok paya bakau




Spesies Burung


            Burung helang adalah spesis burung yang banyak terdapat di Kampung Selat Bagan Nyior. Burung helang merupakan burung yang terkenal di kampung ini kerana jumlahnya yang banyak. Terdapat dua jenis spesis burung helang di sini iaitu burung Helang Merah dan burung Helang Putih. Burung helang ini sering hinggap di kawasan pokok-pokok tinggi serta di persisir pantai contohnya di kawasan persekitaran Barkat Chalet. Habitat utama bagi burung helang adalah di Kilim Geopark dan Pulau Singa sementara Pulau Dayang Bunting hanyalah tempat persinggahan bagi spesis burung ini. Burung helang biasanya akan berkumpul dalam satu kawanan di beberapa kawasan sekitar Pulau Dayang Bunting dan biasanya dilihat berlegar-legar di udara dalam jumlah yang banyak pada dua waktu. Waktunya adalah selepas subuh iaitu dalam lingkungan jam 6.30 pagi hingga 7.00 pagi dan pada waktu senja pula, dari pukul 7.00 petang hingga 7.30 petang.



Burung helang

        Helang Putih juga dikenali sebagai helang laut kerana spesis ini kebiasaannya dilihat berterbangan di permukaan laut. Terdapat spesis ikan yang digunakan sebagai umpan kepada burung helang putih iaitu ikan banang. Kulit dan isi ayam juga antara umpan yang digunakan. Kebiasaannya pelancong yang datang ke pulau ini akan membawa ikan banang tersebut untuk mengumpan burung helang keluar dari tempat mereka. Pelancong berpeluang untuk mengambil gambar dengan lebih dekat ketika helang sedang menyambar umpannya. Selain burung helang, terdapat juga burung Keruak  yang  dikenali sebagai burung Ruak atau Wak-wak. Burung Keruak adalah burung yang berhijrah sementara di pulau ini mengikut musim. Berdasarkan temubual bersama seorang penduduk kampung iaitu Encik Abdul Aziz bin Ishak (47), burung Keruak sering berhijrah ke kawasan kampung ini pada bulan Oktober







Kelibat Burung helang

Burung Enggang

Burung Wak-wak