Tuesday 25 October 2016

Hasil Laut


     Kampung Selat Bagan Nyior terkenal sebagai satu destinasi pelancongan yang menyimpan pelbagai khazanah disebalik kehidupan seorang nelayan dalam mencari sumber pendapatan. Aktiviti perikanan merupakan sumber utama penduduk Kampung Selat Bagan Nyior dalam mencari rezeki serta untuk menampung kehidupan sejak dahulu lagi. Berikutan dengan kedudukan kampung yang berdekatan dipersisiran pantai, majoriti penduduk kampung di Selat Bagan Nyior menjalankan aktiviti nelayan secara tetap yang hanya bergantung kepada tangkapan hasil laut. Peratusan daripada keseluruhan penduduk di sini yang menjadi nelayan adalah kira-kira 90 peratus manakala 10 peratus merupakan peniaga, pembuat kraftangan dan sebagainya. 

Para nelayan yang sedang melakukan aktiviti memukat di laut

       Setiap nelayan akan diberikan lesen khas untuk menjalankan aktiviti penangkapan hasil laut. Secara tidak langsung, pengurusan untuk mendapatkan lesen tersebut bagi penduduk kampung akan diuruskan melalui organisasi nelayan. Selain itu, enjin bot akan diberikan daripada badan perikanan Langkawi kepada nelayan-nelayan di Kampung Selat Bagan Nyior untuk meningkatkan ekonomi penduduk tempatan. Dengan kemudahan yang diberikan kerajaan itu dapat meringankan beban nelayan bak kata pepatah ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’.

        Antara peralatan yang kebiasaannya digunakan oleh para nelayan di sini ialah kail dan pukat untuk mendapatkan hasil laut seperti sotong, udang, dan ikan. Penggunaan kail bagi sesetengah nelayan menjadikan hobi untuk turun ke laut dengan menggunakan sampan persendirian yang bersaiz kecil. Manakala, pukat boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu pukat tunda mahupun pukat tarik. Sementara menunggu masa mengangkat pukat, mereka akan menangkap ikan dengan kail berserta umpan dengan menggunakan joran atau lilitan tangsi pada tangan sahaja. Terdapat beberapa jenis hasil tangkapan ikan oleh nelayan di sini iaitu ikan kerapu, ikan sebelah, ikan merah dan ikan duri. Kebiasaannya para nelayan akan memasang pukat ketika air pasang dan mengangkatnya apabila air surut untuk mengutip hasil tangkapan.
Puan Kamariah yang sedang meukat di tepi pantai
Puan Kamariah yang sedang membuat persiapan untuk turun ke laut

Sotong

        Sotong juga merupakan hasil tangkapan utama para nelayan di sini apabila menjelang musimnya. Kegiatan mencandat dan menangkap sotong akan dilakukan pada waktu malam kerana sotong lebih sensitif kepada cahaya. Sebelum malam menjelang, para nelayan akan membuat persiapan awal untuk mencandat antaranya ialah persediaan lampu, umpan, keadaan sampan serta peralatan yang sesuai untuk mencandat. Penggunaan lampu yang berkelip-kelip digunakan oleh para nelayan di sini untuk menarik perhatian sotong supaya datang ke arah perangkap. Antara warna lampu yang digunakan adalah putih, biru, oren, dan merah. Warna merah memberikan isyarat bahawa banyak sotong sudah mengelilingi lampu tersebut. Menurut Encik Saidin selaku ketua nelayan di sini, hasil tangkapan yang diperoleh akan dijual kepada tauke di Bukit Melut di samping sebahagian untuk sumber pendapatan nelayan itu sendiri.

Sotong juga merupakan hasil laut penduduk disitu

Bronok

           Keunikan yang ada di Kampung Selat Bagan Nyior ini ialah dengan pencarian bronok. Bronok merupakan salah satu spesis hidupan laut yang seakan-akan gamat dan hanya terdapat dipersisiran pantai. Tambahan, pembiakan bronok ini sangat unik iaitu membiak melalui buih di dalam air dari saiz yang kecil hingga mencapai saiz sebesar penumbuk tangan. Menurut Puan Barakatulnissha K.Karim atau dikenali sebagai Kak Bara, buih yang di hasilkan oleh bronok mengandungi benih dan membiak dengan sendirinya melalui air. Di sesetengah kawasan lain, gelaran bagi bronok umumnya dikenali sebagai timun laut bagi sesetengah masyarakat. Tekstur yang ada pada bronok ini kelihatan licin seperti sotong dan ia juga mempunyai beberapa warna seakan-akan coklat kehitaman atau merah jambu. 


        Bronok ini bersifat kenyal dan rasanya agak masin seperti air laut disebabkan pembiakannya. Kak Bara turut menyatakan bahawa bronok hidup di kawasan persisiran pantai yang berselut seperti di pantai kampung ini. Antara saiz bagi bronok yang matang adalah di antara 3 inci sehingga 5 inci. Kebiasaannya bronok ini merupakan hasil laut yang jarang diambil tetapi mendapat permintaan yang tinggi terutamanya ketika kenduri dengan menjadikannya sebagai makanan eksotik iaitu dibuat kerabu. Selain itu, pembuatan makanan seperti kerabu bronok seharusnya tidak boleh di cuci dengan air masin, tetapi hanya boleh di cuci dengan air biasa dan air asam. Hal ini kerana bronok akan mengecut apabila dicuci dengan air masin disebabkan pembiakaan asalnya. Kemudian, bahagian mulut dan perut bronok dibuang dan dihiris kecil. Akhir sekali, bahan kerabu di masukkan dan digaul bersama bronok. Jika bronok disimpan terlalu lama, ia akan menjadi cair seperti asalnya.

Salah satu hasil laut yang menarik iaitu Bronok

Lat Tut


        Di samping itu, selain bronok terdapat juga hasil laut yang dikenali sebagai lat tut. Lat tut adalah sejenis rumpai air yang hanya boleh didapati pada dasar laut dan hanya boleh diambil ketika air surut. Lat tut sangat berkhasiat untuk di makan kerana dipercayai boleh mengurangkan kolestrol, menyihatkan tubuh badan, serta menyembuhkan luka daripada pembedahan. Seperti bronok, lat tut hanya boleh di basuh dengan air tawar sahaja. Jika lat tut disimpan terlalu lama lat tut akan mengering dan mengecut.
Dua penduduk kampung yang sedang mengumpulkan hasil laut






No comments:

Post a Comment