Wednesday 2 November 2016

Pengenalan

Langkawi merupakan sebuah pulau pelancongan yang terkenal di negeri Kedah. Pulau Langkawi adalah pulau yang kaya dengan keindahan alam semulajadi dan merupakan pulau yang terbesar di Malaysia. Namun pernahkah anda mengatahui asal perkataan “LANGKAWI”? Nama Langkawi diambil sempena gabungan dari perkataan ‘LANG’ dan ‘KAWI’. ‘LANG’ adalah singkatan daripada perkataan ‘HELANG’ yang dikatakan menjadi tempat tinggal burung helang. Manakala ‘KAWI’ pula bermaksud BATU KAPUR. Kawi diguna pakai sebagai nama Pulau Langkawi kerana terdapat lambakkan batu kapur di pulau ini.

      Menurut Puan Barakatunissha, 60 Pulau Langkawi terdiri daripada 99 gugusan pulau yang mempunyai keunikan tersendiri. Pulau yang terbesar di Langkawi adalah Pulau Kuah diikuti Pulau Dayang Bunting. Pulau Dayang Bunting adalah salah satu pulau yang mampu menjadi daya tarikan pelancong dengan keindahan alam semula jadi dan lagenda masa lalu. Antara tempat yang menarik di Pulau ini adalah Tasik Dayang Bunting. Menurut kepercayaan penduduk di pulau ini, terdapat mitos yang menyatakan bahawa tujuh orang dayang daripada langit telah turun ke bumi dan menetap di pulau ini. Ketika semua dayang sedang bersiram di tepian tasik tersebut, salah seorang dayang telah berkenalan dengan seorang lelaki penduduk kampung. Dayang tersebut telah jatuh cinta dan berhajat untuk terus menetap di bumi. Namun begitu, keinginan dayang tersebut telah ditolak dan mendapat sumpahan.

      Keistimewaan yang terdapat di Pulau Dayang Bunting boleh dilihat melalui persekitaran di Kampung Selat Bagan Nyior. Selain rumah tumpangan dan chalet, pengangkutan, hasil laut dan kraftangan  merupakan daya tarikan pelancong yang datang ke pulau ini. Kampung Selat Bagan Nyior menjadi kampung tumpuan utama di kawasan Pulau Dayang Bunting kerana mempunyai keunikan pada struktur muka bumi dan keindahan persisiran pantai yang sangat mengagumkan. Jarak perjalanan dari lapangan terbang ke jeti Pekan Rabu, Pulau Kuah dianggarkan kira-kira 19 kilometer, manakala, jarak perjalanan dari jeti Pekan Rabu ke jeti Kampung Selat Bagan Nyior, Pulau Dayang Bunting pula dianggarkan 4 kilometer iaitu kira-kira 15 minit perjalanan dengan bot.

        Keindahan persekitaran semula jadi yang terdapat di Kampung Selat Bagan Nyior memberikan satu rasa ketenangan yang tidak dapat digambarkan. Suasana yang menenangkan dengan tumbuh-tumbuhan hijau serta air laut yang membiru mencetuskan kepuasan bagi setiap pengunjung yang datang ke kampung ini. Kampung ini juga boleh dikatakan sebagai salah satu tempat yang menjadi pilihan kebanyakan pelancong untuk menginap serta merasai keindahan suasana perkampungan nelayan. Keramahan penduduk kampung di perkampungan ini memang tidak dapat dinafikan. Setiap pengunjung yang datang akan dilayan dengan sebaik mungkin oleh penduduk kampung.




Landskap

      
        Kampung Selat Bagan Nyior mempunyai keindahan landskap yang menarik serta mampu menjadi tumpuan pelancong untuk datang ke kampung ini khususnya pelancong dari luar negara. Antara lokasi yang menarik di sini adalah jeti yang menjadi lokasi terpenting bagi penduduk kampung untuk mengumpul hasil tangkapan laut selain sebagai tempat persiapan sebelum turun ke laut. Tambahan pula, jeti juga menjadi tempat utama penduduk kampung untuk menyeberang dari satu tempat ke satu tempat. Hasil daripada temubual bersama Encik Hajat bin Abdul Hamid (56) dan Puan Saahara binti Osman (51), di kampung ini juga terdapat sebuah jambatan yang menghubungkan kampung ini dengan Pulau Tuba.  Menurut mereka juga, jambatan ini telah dibina kira-kira tiga hingga empat tahun yang lalu.






Jeti Kampung Selat Bagan Nyior



Jambatan yang menghubungkan Pulau Tuba dengan Kampung Selat Bagan Nyior


         Di samping itu, struktur muka bumi yang berbukit-bukau dan kedudukan yang berdekatan dengan persisir pantai menjadikan kampung ini lebih menarik. Kampung ini juga mempunyai pola penempatan yang berpusat dan pembinaan jalan yang berturap sepenuhnya. Seterusnya, di kampung ini terdapat kemudahan infrastruktur seperti sekolah, masjid dan dewan orang ramai. Sekolah yang terdapat di kampung ini adalah Sekolah Kebangsaan Selat Bagan Nyior iaitu satu-satunya sekolah rendah yang terdapat di kawasan ini. Manakala sekolah menengah pula terdapat di Pulau Tuba iaitu penduduk kampung perlu ke seberang untuk menghantar anak mereka ke sekolah tersebut. Kampung ini juga menjalankan projek perlindungan hutan dengan melindungi pokok hutan dari aktiviti pembalakan yang berleluasa di samping menjalankan projek penanaman semula pokok bakau di kawasan tersebut. Justeru, Kampung Selat Bagan Nyior dikelilingi dengan keindahan semulajadi laut dan hutan paya bakau.



Sekolah Kebangsaan Selat Bagan Nyior

Pemandangan pokok paya bakau




Spesies Burung


            Burung helang adalah spesis burung yang banyak terdapat di Kampung Selat Bagan Nyior. Burung helang merupakan burung yang terkenal di kampung ini kerana jumlahnya yang banyak. Terdapat dua jenis spesis burung helang di sini iaitu burung Helang Merah dan burung Helang Putih. Burung helang ini sering hinggap di kawasan pokok-pokok tinggi serta di persisir pantai contohnya di kawasan persekitaran Barkat Chalet. Habitat utama bagi burung helang adalah di Kilim Geopark dan Pulau Singa sementara Pulau Dayang Bunting hanyalah tempat persinggahan bagi spesis burung ini. Burung helang biasanya akan berkumpul dalam satu kawanan di beberapa kawasan sekitar Pulau Dayang Bunting dan biasanya dilihat berlegar-legar di udara dalam jumlah yang banyak pada dua waktu. Waktunya adalah selepas subuh iaitu dalam lingkungan jam 6.30 pagi hingga 7.00 pagi dan pada waktu senja pula, dari pukul 7.00 petang hingga 7.30 petang.



Burung helang

        Helang Putih juga dikenali sebagai helang laut kerana spesis ini kebiasaannya dilihat berterbangan di permukaan laut. Terdapat spesis ikan yang digunakan sebagai umpan kepada burung helang putih iaitu ikan banang. Kulit dan isi ayam juga antara umpan yang digunakan. Kebiasaannya pelancong yang datang ke pulau ini akan membawa ikan banang tersebut untuk mengumpan burung helang keluar dari tempat mereka. Pelancong berpeluang untuk mengambil gambar dengan lebih dekat ketika helang sedang menyambar umpannya. Selain burung helang, terdapat juga burung Keruak  yang  dikenali sebagai burung Ruak atau Wak-wak. Burung Keruak adalah burung yang berhijrah sementara di pulau ini mengikut musim. Berdasarkan temubual bersama seorang penduduk kampung iaitu Encik Abdul Aziz bin Ishak (47), burung Keruak sering berhijrah ke kawasan kampung ini pada bulan Oktober







Kelibat Burung helang

Burung Enggang

Burung Wak-wak
     

Wednesday 26 October 2016

Persekitaran



Paya bakau di Kampung Selat Bagan Nyior

Permandangan salah satu rumah tumpang di Selat Bagan Nyior

Masjid di kampung Selat Bagan Nyior

Haiwan pelihara penduduk kampung Selat Bagan Nyior

Permandangan Ladang Getah yang dimiliki oleh penduduk kampung

Jambatan yang menghala ke Jeti Selat Bagan Nyior

Aktiviti riadah berbasikal oleh kanak-kanak kampung Selat Bagan Nyior

Permulaan destinasi kampung Selat Bagan Nyior

Bot nelayan penduduk kampung

Jalan menuju ke arah Kampung Selat Bagan Nyior

Bot yang digunakan oleh para nelayan turun ke laut

Jambatan yang mengabungkan Pulau Dayang Bunting dan Pulau Tuba

Permandangan dari bawah jambatan

Laluan ke Pulau Tuba

Permandangan gunung yang menarik

Suasana kampung di waktu petang

Galeri

 
Permandangan di chalet Barkat


    Seorang nelayan membaiki pukat


Permandangan dari jambatan antara Pulau Tuba dan Pulau Dayang Bunting


Bot sebagai pengangkutan utama iaitu dari Selat Bagan Nyior ke Pulau Kuah


Tugu  Burung Helang sebagai Landmark  Pulau Langkawi


Akitivi harian penduduk kampung Selat Bagan Nyior iaitu memukat


Kanak-kanak selepas pulang dari sekolah


Suasana kampung di waktu petang


Permandangan matahari terbenam

Aktiviti berbasikal oleh kanak-kanak di kampung Selat Bagan Nyior

Penduduk kampung yang beriadah tanpa mengira umur

Tuesday 25 October 2016

Kraftangan


     Di Kampung Selat Bagan Nyior ini, Encik Harun bin Hussin, 74 tahun atau lebih dikenali sebagai Tok Wan bersama isterinya Puan Putih binti Arshad, 63 tahun merupakan satu-satunya keluarga yang menghasilkan barangan kraftangan. Hasil Kraftangan ini merupakan sumber pendapatan utama keluarga beliau. Antara barangan kraftangan yang dihasilkan oleh mereka ialah senduk dan papan hiris.


 Peralatan yang digunakan untuk menghasilkan senduk

Tok Wan sedang memotong kayu untuk menghasilkan kraftangan

     Perusahaan kraftangan ini  menggunakan kayu yang berbeza iaitu kayu rami, khususnya untuk membuat senduk manakala kayu nangka untuk membuat papan hiris.  Di samping penghasilan senduk dan papan hiris, Tok Wan juga menerima tempahan  membuat lesung kayu dan pendayung sampan. Puan Putih juga menyatakan, penghasilan kraftangan ini mendapat sambutan bukan sahaja daripada pelancong yang datang dari luar negara, untuk mendapatkan hasil kraftanganya, malah pelancong tempatan serta penduduk kampung ini sendiri.


 Proses melicinkan senduk dengan menggunakan kertas pasir


Proses penghasilan bagi senduk adalah seperti berikut:
  • Kayu rami dan kayu nangka didapatkan dari hutan
  • Kayu dibelah kepada beberapa bahagian mengikut saiz yang dikehendaki
  • Kayu dijemur selama 5 hingga 6 hari supaya menjadi lebih ringan
  • Menanda bentuk dan saiz senduk supaya tidak lari dari bentuk asal
  • Memahat untuk membuang bahagian yang tidak diperlukan
  • Mesin pengetam digunakan untuk meratakan senduk yang telah dipahat
  • Kertas pasir digunakan untuk melicinkan permukaan senduk
  • Peralatan khas yang diperlukan untuk menghasilkan kraftangan ini adalah kayu yang sesuai, gergaji, mesin pengetam, pensil dan kertas pasir


 Proses pembentukan senduk dilakukan oleh Tok Wan




Hasil Laut


     Kampung Selat Bagan Nyior terkenal sebagai satu destinasi pelancongan yang menyimpan pelbagai khazanah disebalik kehidupan seorang nelayan dalam mencari sumber pendapatan. Aktiviti perikanan merupakan sumber utama penduduk Kampung Selat Bagan Nyior dalam mencari rezeki serta untuk menampung kehidupan sejak dahulu lagi. Berikutan dengan kedudukan kampung yang berdekatan dipersisiran pantai, majoriti penduduk kampung di Selat Bagan Nyior menjalankan aktiviti nelayan secara tetap yang hanya bergantung kepada tangkapan hasil laut. Peratusan daripada keseluruhan penduduk di sini yang menjadi nelayan adalah kira-kira 90 peratus manakala 10 peratus merupakan peniaga, pembuat kraftangan dan sebagainya. 

Para nelayan yang sedang melakukan aktiviti memukat di laut

       Setiap nelayan akan diberikan lesen khas untuk menjalankan aktiviti penangkapan hasil laut. Secara tidak langsung, pengurusan untuk mendapatkan lesen tersebut bagi penduduk kampung akan diuruskan melalui organisasi nelayan. Selain itu, enjin bot akan diberikan daripada badan perikanan Langkawi kepada nelayan-nelayan di Kampung Selat Bagan Nyior untuk meningkatkan ekonomi penduduk tempatan. Dengan kemudahan yang diberikan kerajaan itu dapat meringankan beban nelayan bak kata pepatah ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’.

        Antara peralatan yang kebiasaannya digunakan oleh para nelayan di sini ialah kail dan pukat untuk mendapatkan hasil laut seperti sotong, udang, dan ikan. Penggunaan kail bagi sesetengah nelayan menjadikan hobi untuk turun ke laut dengan menggunakan sampan persendirian yang bersaiz kecil. Manakala, pukat boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu pukat tunda mahupun pukat tarik. Sementara menunggu masa mengangkat pukat, mereka akan menangkap ikan dengan kail berserta umpan dengan menggunakan joran atau lilitan tangsi pada tangan sahaja. Terdapat beberapa jenis hasil tangkapan ikan oleh nelayan di sini iaitu ikan kerapu, ikan sebelah, ikan merah dan ikan duri. Kebiasaannya para nelayan akan memasang pukat ketika air pasang dan mengangkatnya apabila air surut untuk mengutip hasil tangkapan.
Puan Kamariah yang sedang meukat di tepi pantai
Puan Kamariah yang sedang membuat persiapan untuk turun ke laut

Sotong

        Sotong juga merupakan hasil tangkapan utama para nelayan di sini apabila menjelang musimnya. Kegiatan mencandat dan menangkap sotong akan dilakukan pada waktu malam kerana sotong lebih sensitif kepada cahaya. Sebelum malam menjelang, para nelayan akan membuat persiapan awal untuk mencandat antaranya ialah persediaan lampu, umpan, keadaan sampan serta peralatan yang sesuai untuk mencandat. Penggunaan lampu yang berkelip-kelip digunakan oleh para nelayan di sini untuk menarik perhatian sotong supaya datang ke arah perangkap. Antara warna lampu yang digunakan adalah putih, biru, oren, dan merah. Warna merah memberikan isyarat bahawa banyak sotong sudah mengelilingi lampu tersebut. Menurut Encik Saidin selaku ketua nelayan di sini, hasil tangkapan yang diperoleh akan dijual kepada tauke di Bukit Melut di samping sebahagian untuk sumber pendapatan nelayan itu sendiri.

Sotong juga merupakan hasil laut penduduk disitu

Bronok

           Keunikan yang ada di Kampung Selat Bagan Nyior ini ialah dengan pencarian bronok. Bronok merupakan salah satu spesis hidupan laut yang seakan-akan gamat dan hanya terdapat dipersisiran pantai. Tambahan, pembiakan bronok ini sangat unik iaitu membiak melalui buih di dalam air dari saiz yang kecil hingga mencapai saiz sebesar penumbuk tangan. Menurut Puan Barakatulnissha K.Karim atau dikenali sebagai Kak Bara, buih yang di hasilkan oleh bronok mengandungi benih dan membiak dengan sendirinya melalui air. Di sesetengah kawasan lain, gelaran bagi bronok umumnya dikenali sebagai timun laut bagi sesetengah masyarakat. Tekstur yang ada pada bronok ini kelihatan licin seperti sotong dan ia juga mempunyai beberapa warna seakan-akan coklat kehitaman atau merah jambu. 


        Bronok ini bersifat kenyal dan rasanya agak masin seperti air laut disebabkan pembiakannya. Kak Bara turut menyatakan bahawa bronok hidup di kawasan persisiran pantai yang berselut seperti di pantai kampung ini. Antara saiz bagi bronok yang matang adalah di antara 3 inci sehingga 5 inci. Kebiasaannya bronok ini merupakan hasil laut yang jarang diambil tetapi mendapat permintaan yang tinggi terutamanya ketika kenduri dengan menjadikannya sebagai makanan eksotik iaitu dibuat kerabu. Selain itu, pembuatan makanan seperti kerabu bronok seharusnya tidak boleh di cuci dengan air masin, tetapi hanya boleh di cuci dengan air biasa dan air asam. Hal ini kerana bronok akan mengecut apabila dicuci dengan air masin disebabkan pembiakaan asalnya. Kemudian, bahagian mulut dan perut bronok dibuang dan dihiris kecil. Akhir sekali, bahan kerabu di masukkan dan digaul bersama bronok. Jika bronok disimpan terlalu lama, ia akan menjadi cair seperti asalnya.

Salah satu hasil laut yang menarik iaitu Bronok

Lat Tut


        Di samping itu, selain bronok terdapat juga hasil laut yang dikenali sebagai lat tut. Lat tut adalah sejenis rumpai air yang hanya boleh didapati pada dasar laut dan hanya boleh diambil ketika air surut. Lat tut sangat berkhasiat untuk di makan kerana dipercayai boleh mengurangkan kolestrol, menyihatkan tubuh badan, serta menyembuhkan luka daripada pembedahan. Seperti bronok, lat tut hanya boleh di basuh dengan air tawar sahaja. Jika lat tut disimpan terlalu lama lat tut akan mengering dan mengecut.
Dua penduduk kampung yang sedang mengumpulkan hasil laut