Wednesday 2 November 2016

Landskap

      
        Kampung Selat Bagan Nyior mempunyai keindahan landskap yang menarik serta mampu menjadi tumpuan pelancong untuk datang ke kampung ini khususnya pelancong dari luar negara. Antara lokasi yang menarik di sini adalah jeti yang menjadi lokasi terpenting bagi penduduk kampung untuk mengumpul hasil tangkapan laut selain sebagai tempat persiapan sebelum turun ke laut. Tambahan pula, jeti juga menjadi tempat utama penduduk kampung untuk menyeberang dari satu tempat ke satu tempat. Hasil daripada temubual bersama Encik Hajat bin Abdul Hamid (56) dan Puan Saahara binti Osman (51), di kampung ini juga terdapat sebuah jambatan yang menghubungkan kampung ini dengan Pulau Tuba.  Menurut mereka juga, jambatan ini telah dibina kira-kira tiga hingga empat tahun yang lalu.






Jeti Kampung Selat Bagan Nyior



Jambatan yang menghubungkan Pulau Tuba dengan Kampung Selat Bagan Nyior


         Di samping itu, struktur muka bumi yang berbukit-bukau dan kedudukan yang berdekatan dengan persisir pantai menjadikan kampung ini lebih menarik. Kampung ini juga mempunyai pola penempatan yang berpusat dan pembinaan jalan yang berturap sepenuhnya. Seterusnya, di kampung ini terdapat kemudahan infrastruktur seperti sekolah, masjid dan dewan orang ramai. Sekolah yang terdapat di kampung ini adalah Sekolah Kebangsaan Selat Bagan Nyior iaitu satu-satunya sekolah rendah yang terdapat di kawasan ini. Manakala sekolah menengah pula terdapat di Pulau Tuba iaitu penduduk kampung perlu ke seberang untuk menghantar anak mereka ke sekolah tersebut. Kampung ini juga menjalankan projek perlindungan hutan dengan melindungi pokok hutan dari aktiviti pembalakan yang berleluasa di samping menjalankan projek penanaman semula pokok bakau di kawasan tersebut. Justeru, Kampung Selat Bagan Nyior dikelilingi dengan keindahan semulajadi laut dan hutan paya bakau.



Sekolah Kebangsaan Selat Bagan Nyior

Pemandangan pokok paya bakau




No comments:

Post a Comment